
Kemurungan atau Major Depressive Disorder (MDD), merupakan salah satu penyakit mental paling lazim di seluruh dunia yang menjejaskan lebih daripada 264 juta orang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini dicirikan oleh perasaan sedih yang berpanjangan, kehilangan minat terhadap aktiviti harian, keletihan, perubahan selera makan dan gangguna tidur.
Walaupun pelbagai jenis ubat anti-kemurungan seperti Selective Serotonin Reuptake Inhbibitors (SSRIs) telah digunakan secara meluas, sebahagian pesakit masih tidak memberi tindak balas yang memuaskan dalam mengalami kesan sampingan yang serius. Sehubungan itu, minat terhadap alternatif semulajadi semakin meningkat, termasuk penggunaan CBD iaitu sebatiaon utama bukan bersifat aktif yang diperolehi daripada tumbuhan Cannabis Sativa L.
Kajian awal menunjukkan CBD memiliki potensi terapeutik yang luas dalam bidang kesihatan mental, terutamanya dalam rawatan kemurungan. Artikel ini menghurai secara mendalam fungsi-fungsi CBD dalam merawat kemurungan berdasarkan hasil kajian praklinikal dan klinikal.
Interaksi CBD Dengan Sistem Endokannabinoid dan Serotonin
Salah satu mekanisma utama yang menerangkan kesan anti-kemurungan dan CBD berinteraksi dengan sistem endocannabinoid, sistem fisiologi yang terlibat dalam pengawalan pelbagai fungsi termasuk mood, selera makan, tidur dan sistem imuniti. CBD berinteraksi secara tidak langsung dengan reseptor CB1 dan CB2 dalam ECS, serta berupaya memodulasi aktiviti reseptor serotonin 5-HT1A.
Serotonin adalah neurotransmiter penting dalam kestabilan emosi, ketidakseimbangan serotonin sering dikaitkan dengan kemurungan. Kajian pada haiwan yang dijalankan oleh Zanelati et al. (2010) menunjukkan bahawa CBD mampu menghasilkan kesan seperti anti-kemurungan dengan meningkatkan aktiviti reseptor 5-HT1A. Kesan ini menunjukkan bahawa CBD boleh berfungsi seperti SSRIs, tetapi tanpa kesan sampingan seperti kegelisahan atau disfungsi seksual.
Sifat Anxiolitik dan Pengurangan Tekanan
CBD juga dikenalpasti mempunyai kesan anxiolitik iaitu kebolehan untuk mengurangkan kebimbangan yang sering kali muncul bersama kemurungan sebagai komerbiditi. Dalam satu kajian oleh Blessing et al. (2015), CBD terbukti mengurangkan kebimbangan dalam ujian bagi pesakit yang mengalami Social Anxiety Disorder (SAD).
Tekanan kronik atau Chronic Stress adalah salah satu faktor pencetus utama kemurungan. CBD membantu mengurangkan aktiviti amygdala iaitu bahagian otak yang berkaitan dengan respons takut dan kebimbangan dan meningkatkan fungsi korteks prefrontal. Ini memberi kesan kepada pengawalan emosi, penurunan perasaan takut yang berlebihan serta memperbaiki keupayaan mengurus tekanan harian.
Kesan Anti-Radang dan Antioksidan
Satu lagi mekanisma penting CBD dalam merawat kemurungan adalah melalui kesan anti-radang dan antioksidan. Kajian mutakhir telah menunjukkan bahawa kemurungan berkaita rapat dengan keradangan sistemik dan peningkatan sitokin pro-radang seperti IL-6 dan TNF- α. CBD berfungsi dengan menurunkan ekspresi sitokin-sitokin ini dan meningkatkan eskpresi sitokin anti-radang seperti IL-10.
Keradangan dalam otak (neuroinflammation) boleh menjejaskan fungsi hippocampus dan neurotransmisi, menyebabkan gangguan pada emosi dan pemikiran. CBD melindungi tisu saraf daripada kerosakan oksidatif, memperbaiki peredaran darah dalam otak dan membantu memulihkan keseimbangan neurokimia yang diperlukan untuk kestabilan emosi.
Neurogenesis dan Perlindungan Otak
CBD juga berperanan dalam merangsang neurogenesis iaitu proses pembentukan sel otak baharu terutamanya dalam hippocampus iaitu kawasan otak yang sering merosot fungsinya dalam kalangan pesakit kemurungan. Penurunan dalam saiz hippocampus telah dikaitkan dengan masalah ingatan, pemikiran negative dan hilang motivasi.
Kajian oleh Campos et al (2013) menunjukkan bahawa CBD dapat meningkatkan ketumpatan neuron dan sinaps dalam hippocampus tikus yang menunjukkan potensi dalam pemulihan struktur otak yang terjejas oleh kemurungan. CBD juga dipercayai memodulasi faktor pertumbuhan saraf seperti Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF) yang penting untuk kelangsungan neuron dan synaptogenesis.
Penambahbaikan Kualiti Tidur
Gangguan tidur merupakan symptom utama kemurungan. Insomnia atau tidur terganggu memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan menyumbang kepada kitaran kemurungan. CBD telah dilaporkan membantu dalam menstabilkan kitaran tidur-bangun (circadian rhythm), memanjangkan fasa tidur nyenyak (sleep deep) dan mengurangkan terjaga pada waktu malam.
Melalui interaksi dengan reseptor GABA dan peningkatan paras melatonin secara tidak langsung, CBD memperbaiki kualiti tidur pesakit yang mengalami gangguan tidur akibat tekanan atau kemurungan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, CBD menunjukkan potensi yang meyakinkan sebagai agen terapeutik untuk kemurungan melalui pelbagai mekanisma iaitu pengimbangan serotonin, pengurangan tekanan dan kebimbangan, penurunan keradangan, perlindungan otak, serta penambahbaikan tidur. CBD adalah pelengkap kepada pendekatan integratif dalam rawatan kesihatan mental, khususnya bagi individu yang mencari alternatif semulajadi.